Rasulullah menggunakan beberapa kaedah dalam membina keyakinan dalam
diri anak. Beliau melakukan pelbagai kaedah agar anak-anak membesar
sebagai insan yang kuat dan berkeyakinan diri.
Di dalam kitab Manhaj at-Tarbiyyah an-Nabawiyyah lith Thifl karangan
Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid, dinyatakan antara kaedah-kaedah yang
diguna-pakai oleh Rasulullah dalam membina keyakinan anak-anak adalah:
1. Menguatkan Keinginan Anak
Kanak-kanak mempunyai perasaan dan keinginan yang tinggi terhadap
sesuatu perkara. Untuk membina kekuatan mengawal keinginan, anak-anak
harus dibiasakan dengan dua perkara berikut:
a.) Membiasakannya menyimpan rahsia. Sebagaimana
yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap kanak-kanak di sekelilingnya
seperti Anas dan Abdullah bin Ja’afar RA. Ini kerana apabila si anak
belajar untuk menjaga rahsia dan tidak membocorkannya, pada masa itu
juga, keinginannya menjadi semakin kuat sehingga timbul rasa percaya
yang menebal pada dirinya.
Aplikasikan pada anak anda: Beritahu sesuatu rahsia pada
anak anda dan katakan padanya ia adalah suatu rahsia yang harus dijaga.
Contoh: “Along, minggu depan adalah birthday Umi. Jangan beritahu Umi
hadiah yang kita beli ini!”
b.) Membiasakannya berpuasa. Apabila si anak
berjaya menahan lapar dan dahaga semasa berpuasa, dia akan merasakan
dirinya mempunyai kekuatan untuk mengalahkan dirinya sendiri. Kesannya,
keinginannya dalam menghadapi cabaran hidup semakin kuat dan tabah.
Perkara ini sudah tentu dapat meningkatkan keyakinan dirinya.
Aplikasikan pada anak anda: Mengajar anak agar mengambil
pengajaran dari ibadah berpuasa. Contoh: “Tahniah! Angah dah berjaya
berpuasa sebulan Ramadhan. Waktu berpuasa kita sentiasa bersabar dan
menahan dari dari perasaan marah. Sekarang Angah harus lebih sabar
dengan karenah adik!”
2. Membina Keyakinan Sosial
Apabila seseorang anak berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan di rumah
atau melaksanakan perintah kedua ibu bapanya, perasaan keyakinan
dirinya akan tersemai kuat di dalam dirinya. Kebolehannya berdialog dan
berkomunikasi dengan orang-orang dewasa, berkumpul dah bermain bersama
anak-anak lain juga boleh menumbuh dan mengukuhkan keyakinan sosial di
dalam dirinya.
Aplikasikan pada anak anda: Sewaktu menziarahi teman
anda, jangan lupa belikan buah tangan dan suruhlah anak anda untuk
memberi buah tangan tersebut. Contoh: “Along, nanti bila kita sampai di
rumah Uncle Nizam, jangan lupa bagi kerepek ubi ni. Katakan padanya Abi
belikan kerepek ni special untuk Uncle Nizam tau!”
3. Membina Keyakinan Ilmiah
Keyakinan ilmiah dibina melalui pembelajaran Al-Quran, sunnah
Rasulullah SAW dan sejarah hidup beliau. Si anak akan tumbuh membesar
dengan berbekalkan pengetahuan yang cukup mendalam. Pengetahuan yang
terbina dari ilmu yang pasti dan bebas dari pelbagai khurafat dan
khayalan ini lebih membentuk keyakinan anak-anak berbanding komik-komik
yang bersifat imaginasi dan tidak realistik.
Aplikasikan pada anak anda: Jangan lupa untuk selalu
bercerita pada anak-anak anda tentang sejarah hidup Rasulullah SAW
terutamanya ketika mereka hendak tidur. Anak-anak mesti tidak sabar
untuk mendengar kisah-kisah menarik daripada anda. Disebalik kisah-kisah
tersebut, selitkan moral cerita yang boleh menjadi pengajaran berguna
buat mereka.
4. Membina Keyakinan Kewangan
Anak-anak yang telah dapat menguruskan dirinya hendaklah dibiasakan untuk membantu dalam urusan menguruskan wang dan berbelanja.
Diriwayatkan oleh Malik dari Sulaiman bin Yasar: Makanan Sa’id bin
Abi Waqqas telah habis. Dia berkata kepada pembantunya yang masih muda,
“Ambillah tepung kemudian tukarkanlah dengan gandum. Timbangannya harus
sama.”
Rasulullah SAW melihat Abdullah bin Ja’far yang saat itu masih muda
sedang melakukan transaksi jual-beli. Lalu beliau mendoakan keberkatan
untuknya.
Aplikasikan pada anak anda: Ajarlah anak anda nilai wang
yang diterima dan bagaimana mereka harus menjaga dan menggunakan wang
tersebut dengan betul.
Demikianlah dapat kita perhatikan betapa telitinya Rasulullah SAW
dalam membina peribadi anak-anak sehingga mereka berjaya menjadi
generasi pewarisnya yang terbaik.
No comments:
Post a Comment